|
|
|
| ARKIB BERITA / BERITA TERKINI |
|
Jangan Kata Artis Jual Mahal - Anuar Zain
|
| |
 |
JAUH benar nada suara Anuar Zain yang ditemui baru-baru ini berbanding dirinya ketika ditemui pada sidang pra-dengar album Lelaki Ini lewat Ogos tahun lalu. Jika ketika pra-dengar dahulu dia begitu berusaha untuk meyakinkan pihak media supaya tidak bersikap prejudis terhadap albumnya yang menggunakan hampir 80 peratus khidmat komposer seberang, hari ini Anuar dilihat lebih yakin dan tegas mempertahankan apa yang dibuatnya. Mungkin, ia terbias daripada kejayaan Lelaki Ini yang telah mencatat jualan melebihi 25,000 unit – satu angka yang gah di saat kebanyakan album penyanyi lain melepek di pasaran.
“Alhamdulillah, setakat ini itulah kejayaan terbaik yang saya capai untuk album saya. Berbanyak-banyak terima kasih kepada semua yang memberi sokongan,” mungkin klise, namun sudah tentu itulah jawapan yang sebaik-baiknya keluar daripadanya. Ditanya mengapa kelihatan agak
|
menyepikan diri daripada promosi dewasa ini, Anuar menyatakan dia terlalu sibuk dengan majlis-majlis ‘private' yang kian gemar menggunakan khidmatnya.
“Lagi pula, saya berpendapat lagu saya yang sering diputarkan di radio adalah promosi terbaik buat diri saya,” ujar Anuar. Sesekali menghirup teh yang telah dicampur susu oleh Ila, pengurusnya yang cukup setia menemani, Anuar terus memanjangkan bicara tentang soal promosi yang berlegar dalam fikirannya.
Menurut jejaka idaman ramai ini, dia sebenarnya sudah lelah untuk berbicara soal teman hidup, trivia remeh seperti lima perkara yang disukai atau dibenci, kriteria wanita yang dicari dan sebagainya. Sudah sampai satu waktu kata Anuar, dia hanya mahu berbicara soal muzik dan karier.
Tentang albumnya yang turut dipasarkan di seberang, Anuar berterus terang bahawa jualannya tidaklah segah di negara sendiri. Ulasnya jujur, ia mungkin berpunca daripada masyarakat di sana yang masih belum mengenalinya seperti di Malaysia. Oleh sebab itulah juga, albumnya tidak melalui proses pelancaran, tetapi diperkenalkan dalam majlis pengenalan dirinya kepada media di sana.
“Lagu saya ada juga dimainkan di radio sana namun buat masa ini ia banyak diputarkan di luar Jakarta. Ia satu proses biasa dan saya faham,” ujarnya.
Orang seni tidak boleh emosi
Perbualan kami kemudiannya terarah kepada persoalan yang dibangkitkan pihak tertentu bahawa Anuar kini bersikap ‘demanding'. Jelas, penyanyi bersuara lantang ini cukup terganggu dengan persoalan yang diutarakan.
“Bukan ‘demanding' sebenarnya. Perkataan itu terlalu negatif dan menyakitkan untuk ditelan. Apakah salah jika pihak saya menyuruh pihak yang mahu menggunakan khidmat menulis surat sebagai rekod ‘black and white'?
“Kemudian apabila surat tawaran diterima, pihak kami akan membalasnya pula berserta sebut harga dengan beberapa syarat. Mungkin di situ ada disebutkan beberapa butir seperti jumlah bilik, tiket penerbangan dan makanan yang diminta oleh pihak kami, jadi pihak yang membuat tawaran seharusnya meneliti dahulu sama ada mereka mahu bersetuju atau tidak.
“Sekiranya mereka sudah menurunkan tanda tangan, itu bermakna mereka mesti menunaikan segala syarat yang diminta. Mereka tidak sepatutnya menyebut seseorang artis itu ‘demanding' sekiranya mereka sendiri sudah bersetuju namun silapnya, mereka tidak membaca betul- betul apa yang ditulis dalam surat yang diberi oleh pihak kami.
“Kepada pihak yang bersikap begini, jika tidak mampu, tarik sahaja tawaran. Adalah tidak adil sekiranya mereka menurunkan tanda tangan namun di kemudian hari, menyatakan artis ‘demanding' kerana mereka tidak mampu melunaskan syarat yang sudah dipersetujui,” ulas Anuar panjang lebar.
Dalam pada itu, Anuar juga berkongsi pandangan bahawa orang-orang seni terutamanya karyawan seharusnya meniru mentaliti golongan sama di Indonesia yang disifatkannya cukup profesional.
“Mereka tidak pernah berkecil hati apabila karya ditolak atau ditegur. Mereka begitu profesional dan sikap sebegini amat payah ditemui dalam diri orang seni yang saya temui sebelum ini,” ucap Anuar lagi, penuh makna.
|
|
|
| Sumber: © Berita @ Sinar. 18 Mac 2008 |
|
|
| |
| |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|