PILIHAN UTAMA

OTHER AZ WEBSITE


WEBSITE ARTIS

RADIO ONLINE


MESTI KLIK

DOMAIN SPONSORED BY


 
ARKIB BERITA / BERITA TERKINI

Anuar perlu lebih Rm1j

 

Pada acara jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2007) di Johor Bahru pada Sabtu lalu, Anuar yang tercalon dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular menghiburkan ramai pengunjung. Menariknya, Anuar dicalonkan dalam ABPBH2007 kali ini selepas terakhir pada 2004.

Mempertaruhkan kekuatan album terbaru untuk mengatasi saingan penyanyi popular lain seperti Mawi, Hazami, Adam AF2 dan Faizal Tahir, khabar terbaru, penyanyi berusia 38 tahun ini sedang merancang untuk

mengadakan konsert solo yang pertama.

Namun, Anuar berhadapan dengan masalah untuk melaksanakan impian konsert solonya ini. Bagi mendapatkan penjelasan, wartawan Harian Metro, ELRAFAEI SAPI (ahmadelrafaei@hmetro.com.my) berinteraksi dengan Anuar bagi mendapatkan kisah lanjut dan perkembangan terbarunya.

Soalan (S): Apa projek terbaru Anuar sekarang?

Jawapan (J): Buat masa ini saya masih meneruskan aktiviti mempromosikan album saya dan memenuhi jemputan mengadakan persembahan. Sambil terbabit dalam acara jelajah ABPBH2007 di Johor Bahru pada hujung minggu lalu, saya juga kini merancang untuk mengadakan konsert solo pertama saya.

S: Sudah berapa tahun Anuar merancang ingin mengadakan konsert solo ini?

J: Sebenarnya lebih dua tahun saya merancang untuk mengadakan konsert solo ini tetapi hingga kini, masih belum ada rezeki.

S: Mengapa belum ada rezeki?

J: Terus terang saya katakan, konsert solo yang ingin saya laksanakan sebenarnya sukar mendapat penajaan. Mungkin orang tidak percaya bagaimana saya sebagai penyanyi yang sudah berpengalaman selama 25 tahun dan mempunyai nama besar dalam persada seni tanah air sukar mendapat penajaan tetapi itulah hakikatnya.

Sudah banyak usaha saya lakukan untuk mencari penaja tetapi tiada yang sudi. Saya juga tertanya-tanya dalam diri, mengapa sukar artis tempatan mendapat penajaan. Apakah penaja takut dengan sambutan yang kelak diterima atau artis tempatan terus dianaktirikan penaja tempatan sendiri.

Perkara ini bukannya isu baru. Sejak beberapa tahun lalu, kita pernah terdengar artis tempatan menghadapi masalah yang sama iaitu sukar mendapat penaja. Kini, saya sendiri mengalaminya.

S: Berapakah kos yang diperlukan untuk merealisasikan konsert solo Anuar ini?

J: Kos ini memerlukan peruntukan lebih RM1 juta meliputi kelengkapan peralatan sistem bunyi, menyewa tapak konsert dan bayaran lain termasuk pemuzik dan penyanyi latar.

S: Apakah tindakan Anuar selepas ini?

J: Saya tidak akan putus asa untuk terus mencari penaja yang sudi menaja konsert solo pertama saya ini. Bagi saya konsert ini penting sebagai tanda penghargaan saya kepada peminat yang sekian lama menyokong kerjaya seni saya. Sudah lama peminat tunggu untuk menyaksikan konsert saya ini dan saya berharap ia akan menjadi kenyataan satu hari nanti.

Namun, pada 2 Mei depan, saya terlebih dahulu akan menjayakan showcase solo berkonsep makan malam. Acara ini akan dilangsungkan di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur dan dijangkakan 600 peminat akan hadir pada acara itu nanti.

S: Bagaimana dengan projek album seterusnya?

J: Saya meletakkan tempoh antara satu setengah tahun untuk menghasilkan album baru. Buat masa ini, saya sedang mengumpul lagu baru untuk dimuatkan dalam album itu nanti dan merancang menampilkan kesemua lagu baru.

Selain album ini menjadi hadiah buat peminat, saya juga merasakan penghasilan lagu baru cukup penting dalam persembahan saya sendiri. Seperti harapan peminat, saya tidak mahu menyanyikan lagu yang sama atau lagu orang lain dalam persembahan sendiri.

S: Minggu setiausaha bakal menjelang tiba. Apakah Anuar akan sibuk dengan undangan seperti lazimnya?


J: Pada tahun ini, saya tidak bercadang untuk terbabit dalam Minggu Setiausaha. Cukuplah selama enam tahun saya menghiburkan peminat menerusi acara ini. Memang banyak tawaran yang saya terima tetapi saya sudah membuat keputusan untuk berehat daripada acara itu. Mungkin tahun depan, saya akan kembali semula.

S: Mengenai pencalonan Anuar dalam ABPBH2007, mungkinkah peminat akan mengundi Anuar sebagai pemenang kategori Penyanyi Lelaki Popular?

J: Saya tidak terlalu memikirkan soal menang atau kalah dalam sesuatu pertandingan. Saya tercalon kerana mempunyai album baru. Bagi saya, harapan melihat peminat suka dengan lagu saya lebih diutamakan.

Tercalon dalam ABPBH2007 kali ini sudah cukup bermakna dan besar maknanya bagi saya. Sesiapa sahaja yang tercalon berhak untuk menang dan apa yang lebih penting pembabitan artis dalam menjayakan acara ini perlu diberi perhatian.

 


Sumber: © Harian Metro. 19 Mac 2008

 
 
[ Back ]


SUDUT CHAT

SUMBER BERITA


FAV BLOG

FAV FORUM

 
 
ANUAR ZAIN WEBSITE © 2005 - 2008 • Design by Shahrul Aiman