PILIHAN UTAMA

OTHER AZ WEBSITE


WEBSITE ARTIS

RADIO ONLINE


MESTI KLIK

DOMAIN SPONSORED BY


 
ARKIB BERITA / BERITA TERKINI

Anuar - Duduk di riba pun saya tak kisah!

 

SELEPAS cerita kontroversi album terbaru penyanyi Anuar Zain, cerita mengenai penyanyi yang kini popular dengan lagu Ketulusan Hati ini kurang kedengaran lagi dan terus sepi begitu sahaja.

Namun, dalam diam-diam Anuar ada isinya kerana adik kepada penyanyi Ziana Zain ini sendiri sedang menantikan kemunculan album terbarunya yang dijangka siap pada tahun hadapan.

“Sebenarnya tak perlu ada kontroversi apabila saya memilih muzik dari Indonesia. Saya ingin katakan di sini, sebagai manusia kita sentiasa inginkan sesuatu yang baru tanpa prejudis.

“Sejak tiga tahun lepas, cerita tentang album sahaja sudah cukup dihebahkan. Akhirnya apabila album nak keluar dan selepas majlis pra-dengar dibuat, banyak wartawan yang keluarkan cerita tu.

“Sudah terlalu banyak cerita peribadi saya yang disiarkan. Sekarang, biarlah saya tumpukan kepada nyanyian sahaja. Nak kata saya terlalu senyap sangat, tidak juga kerana saya ada banyak cerita sebenarnya,” beritahu jejaka berusia 38 tahun ini.

Apakah cerita yang ingin dikongsi oleh Anuar?

“Sekarang saya menantikan kemunculan single ketiga yang bakal disiarkan di radio-radio tempatan. Diharapkan single yang ketiga ini nanti adalah lagu yang lebih rancak berbanding Lelaki Ini dan Ketulusan Hati.

“Klip video saya juga sudah berada di pasaran. Namun, kurang mendapat sambutan sebab mungkin orang tak berapa suka melihat klip video.

“Kalau ada pun, klip video hanya digunakan untuk program TV seperti Ria Sentral atau ‘ending credit' sesebuah rancangan.

“Tentang hasil jualan album pula, kini ianya sudah memasuki enam bulan berada di pasaran. Setakat yang saya tahu, album tersebut sudah terjual kira-kira 25,000 unit dalam tempoh empat bulan.

“Saya bukan nak berbangga atau apa, tetapi berapa banyak yang kita jual perlu diberitahu dengan ikhlas.

“Oleh kerana album tersebut laris di pasaran, saya sudah mencetak 30,000 unit album lagi sebagai tambahan album untuk dijual.

“Selain itu saya sedang mengumpul material untuk mengeluarkan album terbaru yang bakal keluar pada tahun hadapan.

“Melihat kepada konsep album, saya inginkan lebih banyak lagu rancak kerana album sebelum ini lebih banyak lagu berentak ‘slow'.

“Kali ini tak kisah dengan mana-mana komposer dan produser album dari mana-mana samada Malaysia atau Indonesia.

“Saya juga bakal mengadakan persembahan di majlis Anugerah Bintang Popular 2007 dan Anugerah Planet Muzik 2008. Dalam ABP nanti, saya akan menyanyikan lagu Ketulusan Hati,” ujar Anuar ketika sidang media “A Nite With...Anuar Zain” di La Bodega, Pavillion, Kuala Lumpur.

Showcase tersebut dianjurkan oleh Sutra D'Mega Event & Entertainment Sdn. Bhd. buat kali kedua selepas menganjurkan ‘Malam 1001 Gemilang' yang dijayakan oleh Mawi, M.Nasir dan Jamal Abdillah pada Disember tahun lalu.

Majlis makan malam istimewa yang bertemakan ‘Glamourous' itu akan berlangsungpada 2 Mei depan jam 8 malam bertempat di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.

“Saya akan menyanyikan 17 hingga 19 buah lagu penuh dan ada juga yang ‘dimedleykan'. Semua lagu yang dipilih adalah lagu Melayu kerana saya menghargai muzik Melayu.

“Diikutkan durasi masa yang diberikan adalah satu jam 15 minit tetapi persembahan saya bergantung kepada penonton juga. Semasa saya melakukan persembahan, peminat boleh naik ke pentas dan berhibur bersama saya.

“Mereka nak cium pipi atau duduk di riba pun saya benarkan. Hanya untuk berseronok dan saya mahu mereka semua gembira. Nanti, ada perkara yang mereka boleh perkatakan dengan keluarga dan rakan-rakan.

“Walaupun mereka bebas melakukan apa sahaja, ada juga batasnya kerana saya tidak mahu ‘mengotorkan' show itu,” ulas Anuar yang memilih pemuzik Mac Chew untuk mengiringi persembahannya nanti.

Pastinya persembahan Anuar kali ini tampak berlainan dengan persembahan sebelum ini kerana beliau akan menyanyi dengan ‘live band' yang membuatkan persembahannya lebih kreatif.

Dijangka seramai 1200 orang akan menyaksikan kelainan persembahan Anuar yang bakal menyanyikan sesetengah lagunya dengan iringan muzik piano manakala lagu berentak jazz dengan gitar.

Anuar yakin tanpa gimik persembahan, beliau mampu menjayakan showcase tersebut.

“Jika ada gimik persembahan, ianya nampak terlalu bersungguh. Ada ‘good crowd', itulah baru gimik,” beritahu Anuar lagi yang bakal menguasai pentas seorang diri tanpa kehadiran penyanyi lain.

Saksikan Anuar Zain dalam showcase ‘A Nite With...Anuar Zain' menyanyikan lagu-lagu popularnya seperti Lelaki Ini, Ketulusan Hati, Teman Terulung dan sebagainya pada 2 Mei depan jam 8 malam di Dewan Perdana, Kuala Lumpur.

Tiket boleh dibeli dengan harga RM300, RM350, RM400 dan tiket istimewa RM650 sementara pakej meja RM3000, RM3500, RM4000 serta RM6500 di mana penonton yang hadir turut dihidangkan dengan hidangan makan malam istimewa beserta cenderahati daripada pihak penganjur.

Untuk tempahan tiket, hubungi talian 03-77274515 (Tity, Ayu dan Affi) dan 03-20911666 (ticket 2u) atau boleh juga dapatkan tiket di semua Tower Records dan Music Valley di Lembah Klang serta layari www.ticket2u.biz .

 


Sumber: © Berita @ mStar.Com. 28 Mac 2008
Oleh: SITI AZIRA ABD AZIZ

 
 
[ Back ]


SUDUT CHAT

SUMBER BERITA


FAV BLOG

FAV FORUM

 
 
ANUAR ZAIN WEBSITE © 2005 - 2008 • Design by Shahrul Aiman