 |
Kata Anuar, apa yang ditawarkan itu bukan perkara di luar batasan sebaliknya sebagai penghargaan betapa dia dan peminat saling memerlukan. Malah, kata Anuar ia perkara biasa kerana peminat mahu berseronok. Kalau peminat gembira, dia juga gembira.
Saya yakin ramai peminat wanita Anuar tidak sabar menanti detik bertemu penyanyi kacak ini untuk menciumnya. Lebih bertuah dapat duduk di riba Anuar.
Kalau sebelum ini ada juga peminat wanita yang tidak segan silu berbuat demikian, tentunya kini lebih ramai yang berani apabila tawaran dibuka begitu.
Walaupun mungkin Anuar tidak rasa apa-apa apabila peminat wanita menciumnya, tetapi tetap tidak manis dipandang. Apatah lagi dilakukan mereka beragama Islam. Tambah kurang manis dan tidak elok apabila mak cik memakai tudung naik ke pentas berbuat demikian.
Persoalannya, mengapa Anuar berani membuat tawaran itu? Apakah dalam usia 38 tahun dan lebih 25 tahun membabitkan diri dalam dunia seni, penyanyi yang popular dengan lagu Lelaki Ini begitu terdesak untuk
|
meneruskan kelangsungannya dalam industri?
Lebih mengejutkan kerana sebelum ini Anuar pernah menolak pelawaan media untuk digandingkan dengan artis wanita dalam satu sesi fotografi.
Alasan Anuar, dia kini tidak memerlukan publisiti seperti itu kerana ia sudah dilaluinya pada awal pembabitannya dalam seni. Pada tahap sekarang, Anuar mampu berdiri atas kekuatan namanya.
Tetapi apa sudah jadi dengan pendirian Anuar ini? Apakah atas alasan peminat, Anuar tidak malu untuk membuat tawaran itu? Maklumlah artis selalu berkata, tanpa peminat siapalah saya.
Komen daripada seorang lelaki yang tidak kurang kacaknya apabila ditanya perkara ini, dengan selamba jawabnya Anuar mengada-ngada. Tidak kurang mengatakan Anuar seperti sudah terdesak untuk mengekalkan popularitinya. Hakikatnya tindakan Anuar itu sebenarnya meletakkan dirinya ke tahap yang begitu rendah.
Paling dibimbangkan, tindakan Anuar bakal mencetuskan senario baru dalam industri hiburan kita dengan mewujudkan satu kemesraan sebegitu antara peminat dan artis.
Kalau kita lihat senario hiburan di Indonesia, sememangnya jauh lebih berani dan terbuka walaupun negara jiran itu mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia.
Tetapi di negara kita, senario hiburannya jauh lebih sopan walaupun kehidupan artis dilihat agak bebas dan penuh warna-warni berbanding masyarakat biasa. Laga pipi antara lelaki dan wanita malah sesama lelaki sudah jadi perkara biasa. Bagi mereka, tiada apa-apa sekadar tanda kemesraan.
Kalau tidak masakan ada peminat yang cuak apabila melihat pelakon terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan berbual mesra dan peluk cium gadis muda dalam kereta. Tanpa menyiasat terlebih dulu siapa gerangan gadis yang dicium pelakon itu, orang yang melihat terus membuat andaian liar.
Cerita disiarkan dalam Soseh-Soseh Khamis lalu membuatkan Jalaluddin tersentak hingga tampil membuat kenyataan membetulkan keadaan. Kenyataannya disiarkan Jumaat lalu.
Namun, seorang rakan berkata, walaupun pelakon itu bersama anak gadisnya sekalipun ketika itu dan memang Jalaluddin mesra dengan anak gadisnya, tetapi perlakuannya tetap mengundang curiga daripada orang yang melihatnya.
Tetapi dalam kes Anuar, ia antara artis dan peminat. Atas hukum apa dia menghalalkan semua itu? Mungkin saya dianggap tidak terbuka apabila membahaskan perkara ini. Tidak mustahil juga kata-kata tidak sedap didengar akan dilemparkan kepada saya melalui kiriman e-mel atau surat.
Baru-baru ini saya menerima e-mel daripada pembaca mengenai tulisan saya dalam ruangan ini minggu lalu apabila menyentuh hukuman diterima artis yang melakukan salah laku. Saya memberi contoh Faizal Tahir, Zarina An-Julie dan juga Wan Nor Azlin. Tetapi ada peminat Wan Nor Azlin yang tersentap.
“Kalau u tak suka ngan wan nor azlin sekali pun, hinggakan U tak putus2 tulis kisah silam dia, masih nak korek2 lagi cerita2 yg tak elok tentang dia, masih nak tabur pasir dlm periuk nasi dia, jgn la sampai statement tentang kematian pun u tulis ikut suka hati.
“I thought wartawan ni suppose to be well informed. Nampaknya mata u blum cukup luas dan telinga u pun masih pekak lagi. Baru-baru ni wan nor azlin bukan kematian bapa, tapi kematian ibu.
“Benda kematian ni jgn la main hentam kromo je wahai hartati yang bertudung. Siasat dulu, tanya org betul2. Dah dapat info yg sahih, baru la tulis dlm paper,” menurut e-mel dihantar pembaca itu.
Dalam ruangan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pembaca itu atas pembetulan yang dimaklumkan. Yang baik itu datangnya daripada Allah, yang buruk itu daripada saya sendiri.
|