 |
SEJAK dia muncul dengan produksi terbarunya, pelbagai cerita kurang enak berkaitan dirinya diperkatakan. Namun, bagi Anuar Zain segala tohmahan tersebut bukanlah satu halangan buat dirinya.
Malah dia lebih gemar mendiamkan diri daripada melayan segala spekulasi yang sering kali membabitkan namanya. Lepas satu demi satu cerita kurang enak tentang dirinya, tiba-tiba namanya dikaitkan sekali lagi dengan sebuah cerita tidak berasas.
Anuar dikatakan semakin besar kepala dan tidak mahu menjayakan Minggu Setiausaha dan hanya mahu mengadakan sebuah persembahan eksklusif sahaja.
Mendengarkan cerita tersebut, pantas anak muda ini menggelengkan kepala. Jelas Anuar perkara tersebut tidak benar sama sekali. |
“Mengapalah cerita sebegini timbul. Sama ada saya mahu atau tidak mengadakan persembahan Minggu Setiausaha, terpulang pada diri saya. Itu hak saya untuk menerima atau tidak. Sejujurnya memang saya ada menerima beberapa tawaran tetapi saya mengambil keputusan untuk tidak menjayakannya kerana saya mahu memberi tumpuan untuk mengadakan sebuah persembahan khas untuk peminat saya.
“Tapi lain pula cerita jadinya,” kata penyanyi popular ini di sidang media A Nite With Anuar Zain yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menyambung perbualan kata anak kelahiran Merlimau, Melaka ini setelah dia membuat keputusan untuk tidak menjayakan Minggu Setiausaha, pihaknya menerima maklum balas daripada peminat yang memintanya untuk mengadakan sebuah persembahan khas untuk para peminat.
“Pengurus saya menerima panggilan daripada peminat-peminat yang minta saya tampil buat sebuah persembahan. Kemudian pihak Sutra d‘Mega mencadangkan saya untuk mengadakan sebuah persembahan live band.
“Lantas setelah berfikir saya menerima untuk mengadakan persembahan ini bagi menghargai mereka. Lagipun bila kita buat persembahan live band kepuasannya melebihi dari kita menyanyi menggunakan minus one,” terang Anuar menjelaskan segalanya.
Peluk dan cium dibenarkan
Aura dan penangan penyanyi berbintang Aquarius ini tidak perlu diperkatakan lagi.
Ketampanan dan sifat ramah mesranya membuatkan ramai wanita tergila-gilakan lelaki ini.
Malah senario yang sering kali dapat disaksikan tatkala menghadiri persembahan Anuar pastinya gelagat para peminat yang selalunya akan bertindak agresif terhadapnya.
Memeluk, mencium pipi, duduk di atas ribanya antara aksi-aksi spontan para gadis terhadap bekas pramugara ini.
Mungkin kepada khalayak yang tidak biasa dengan situasi tersebut pastinya terjegil mata, namun bagi Anuar perkara tersebut merupakan suatu perkara biasa.
Lantas Anuar sendiri sudah bersedia diperlakukan sedemikian rupa di majlis A Nite With Anuar Zain yang akan diadakan di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada 2 Mei ini.
“Mereka boleh buat apa saja pada saya. Kerana saya mahu malam tersebut merupakan satu kenangan terindah buat mereka apabila pulang ke rumah kelak. Jangan salah faham dengan kenyataan saya.
“Sebab memang saya akui selalunya situasi saya dicium, dipeluk dan sebagainya adalah sesuatu yang lumrah tatkala saya membuat persembahan. Jadi apabila mereka datang untuk berseronok dan bergembira dengan saya, saya akan pastikan mereka semua gembira,” jelasnya.
Berbicara tentang harga tiketnya RM650, RM400, RM350 dan RM300 yang dilihat agak mahal, adik penyanyi Ziana Zain itu berkata, “Bagi saya tidak mahal harga tersebut kalau orang suka. Tidak salah mereka melabur untuk menyaksikan persembahan kita. Saya yakin mereka semua akan terhibur dengan persembahan saya nanti.”
Persembahan Anuar kelak akan diiringi oleh Mac Chew dan bagi menghargai semua peminatnya malam persembahan tersebut Anuar akan menyanyikan kesemua lagu-lagu Melayu dari albumnya dan beberapa lagu dari penyanyi lain.
“Saya akan menyanyi lagu dari album pertama saya hingga ketiga. Mungkin saya akan menyanyikan beberapa lagu penyanyi lain dan tiada artis undangan,” ujarnya yang amat berharap untuk mengadakan sebuah konsert dalam masa terdekat ini.
Bagaimanapun, Anuar menolak untuk mengadakan gimik di malam tersebut sebagai sebuah kelainan.
“Kalau saya buat gimik seolah-olah saya tak yakin dengan diri saya sendiri. Bagi saya apabila kita dah pilih lagu-lagu yang baik dan kita sampaikan dengan baik pastinya persembahan kita akan menghiburkan semua yang hadir,” tegasnya.
Bagi khalayak yang ingin menyaksikan A Nite With Anuar Zain boleh menghubungi talian 03-77274515 .
|