PILIHAN UTAMA

OTHER AZ WEBSITE


WEBSITE ARTIS

RADIO ONLINE


MESTI KLIK

DOMAIN SPONSORED BY


 
ARKIB BERITA / BERITA TERKINI

RTM Siap 4 Program Raya

 

BERPUASA pun belum, tetapi Radio Televisyen Malaysia (RTM) sudah menyiapkan konsert khusus untuk siaran Aidilfitri ini. Sehingga kini, RTM sudah menyiapkan empat program hiburan yang dinamakan Konsert Fenomena dijayakan artis terkenal tanah air.

Setiap konsert menggabungkan dua artis. Mereka yang menjadi pilihan RTM, Ifa Raziah bersama kumpulan Kristal, Meet Uncle Hussein disatukan dengan kumpulan May, Sofaz bersama Sixth Sense, Fabulous Cat berserta Elyana. Manakala Konsert Fenomena terakhir RTM menjemput penyanyi adik-beradik Anuar dan Ziana Zain.

Menurut Penerbit Konsert Fenomena Anuar dan Ziana, Norfadzilah Hashim, RTM merakamkan konsert itu lebih awal supaya tidak mengganggu tumpuan artis dan peminat untuk beribadah sepanjang Ramadan ini.

"Tahun sebelumnya, kebanyakan program utama untuk hari raya kami rakamkan lebih awal. Biasanya apabila Ramadan tiba, ia masa terbaik untuk berehat dan mendekatkan diri kepada Allah.

"Artis pun hendak menunaikan solat tarawih, jadi setiap tahun kami membuat perancangan awal. Ia juga tidak menyusahkan peminat terutama yang datang dari jauh menyaksikan persembahan artis diminati. Kalau ada pun rakaman waktu Ramadan adalah program yang kecil-kecil saja.

"Walaupun ia tidak dibuat pada Ramadan, tetapi kami sudah umumkan supaya orang ramai yang ingin datang ke rakaman konsert itu berpakaian baju Melayu untuk mendapatkan mood hari raya. Nampaknya semua yang datang memberikan kerjasama.

"Jadi tiada bezanya jika rakaman konsert itu dibuat sebelum Ramadan atau ketika Ramadan. Kemeriahan dan suasana hari raya tetap terasa," katanya.

Berkenaan pemilihan lagu, Norfadzilah berkata, dia bersama Anuar dan Ziana berbincang mengenainya. Mereka memberikan senarai lagu yang ingin dinyanyikan dan dia akan melihat kesesuaian lagu itu dengan konsert.

"Mereka berdua sudah berpengalaman jadi sudah faham kehendak sesuatu program," katanya.

Rakaman Konsert Fenomena Anuar dan Ziana yang diadakan di Auditorium Perdana, Angkasapuri, baru-baru ini berjaya mengumpul peminat kedua-dua penyanyi itu sementelah mereka sudah agak lama tidak menjayakan program hiburan terbitan RTM.

Kemunculan mereka berdua menerima sokongan padu peminat apabila setiap sudut auditorium itu penuh sehingga ke tangga. Ternyata fenomena Anuar Zain melanda auditorium pada malam itu. Walaupun rakaman itu berlanjutan sehingga jam 12 malam, penonton tidak berganjak.

Anuar dan Ziana turut menjemput idola mereka sejak kecil, Liza Aziz dan Jay Jay.

Rakaman dimulakan dengan lagu Suasana Hari Raya, paduan suara Ziana dan Anuar, diikuti dengan lagu Selamat Hari Raya (Ziana), Dalam Kesakitan Ini (Ziana), Kau Bunga Cinta Ku (Anuar), Lelaki Ini (Anuar), Dirimu Satu (Ziana), Kita Insan Biasa (Ziana dan Jay Jay), Bersabarlah Sayang (Anuar), Dari Jauh (Anuar dan Liza Aziz), Semoga (Liza Aziz), Kehadiranmu (Ziana), Dingin (Ziana), Ketulusan Cinta (Anuar) dan Menjelang Hari Raya (Ziana, Anuar, Jay Jay dan Liza Aziz).

Sejak remaja lagi Ziana mengagumi Jay Jay dan setiap albumnya pasti berada dalam koleksi ibu dua anak itu.

"Dari dulu sehingga kini, suara Jay Jay tidak berubah. Sukar untuk mencari penyanyi yang boleh bertahan seperti beliau sekarang. Jadi pada kesempatan ini saya mengundang Jay Jay berduet bersama saya," katanya.

Sementara itu, Jay Jay menjelaskan yang dia akan hadir dengan album baru dan projek tribute untuk kumpulan Alley Cats yang sudah 40 tahun berkecimpung dalam bidang seni.

"Dalam album tribute itu juga mengandungi satu lagu istimewa berduet dengan David Arumugam," katanya.

Kemunculan Liza Aziz juga mengubat kerinduan peminat seni suara. Alunan suaranya sesegar dulu kala dia menyanyikan lagu Semoga. Tiada cacat cela dan lontaran suaranya pada malam itu memukau hadirin. Begitu besar bakat seni Liza Aziz yang diwarisi daripada kedua ayahanda dan bondanya, Aziz Jaafar dan Normadiah. Masih aktif menyanyi namun kurang publisiti diberi kepadanya dan juga adiknya Azlina Aziz.

Sesudah terpukau dengan lagu Lelaki Ini dan Mungkin, penonton di auditorium bagaikan tidak sabar untuk menunggu buah tangah terakhir Anuar pada malam itu yang akan menyanyikan lagu popularnya, Ketulusan Hati.

Menyesuaikan lagu cinta puitis itu, pentas dihiasi lilin dan penonton pula diberikan lampu suluh serta lampu auditorium dimalapkan. Kehebatan Anuar menyampaikan lagu itu memang tidak dapat disangkalkan lagi.

Zaman kegemilangan Anuar belum berakhir apabila kelahiran album barunya yang pernah mengundang kontroversi kerana menggunakan khidmat ramai komposer Indonesia, mengukuhkan lagi penguasaannya di persada seni.

Namun itulah Anuar, hanya terbaik menjadi pilihan hati kerana bukan saja untuk kepuasan diri tetapi kepada peminat yang tidak jemu menyokongnya. Biar diasak kontroversi tetapi pengorbanannya berbaloi kerana kebanyakan lagu dalam album barunya itu terus memahat namanya antara penyanyi lelaki paling popular negara.

Rakaman itu turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Adilah Shek Omar.

 


Sumber: © Harian Metro - 20 Jun 2008
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my
 
 
[ Back ]


SUDUT CHAT

SUMBER BERITA


FAV BLOG

FAV FORUM

 
 
ANUAR ZAIN WEBSITE © 2005 - 2008 • Design by Shahrul Aiman