PILIHAN UTAMA

OTHER AZ WEBSITE


WEBSITE ARTIS

RADIO ONLINE


MESTI KLIK

DOMAIN SPONSORED BY


 
ARKIB BERITA / BERITA TERKINI

Anuar Zain dan persembahan di Sabah, Sarawak

 

WAH! Dalam suasana muram industri nyanyian yang lebih meletakkan artis seberang dalam senarai nama untuk menghibur masyarakat di negara ini, abang kesayangan ramai ini tidak pernah jemu mencari ruang dan peluang untuknya mendekatkan diri kepada peminat setianya.

Wanda harap, ada yang dapat melihat kesungguhan Anuar Zain untuk merealisasikan cita-citanya menjayakan sebuah persembahan besar untuk peminat di seluruh negara.

Dan nampaknya persembahan A Nite With... Anuar Zain memberikan satu impak kejayaan kepadanya. Mana tidaknya, ekoran sambutan hangat persembahan eksklusif itu, tak lama lagi peminat di Sabah dan Sarawak juga berpeluang menikmati hiburan secara live daripada jejaka idaman Malaya ini.

Mungkin impian mengadakan konsert belum tercapai, sekurang-kurangnya dengan persembahan eksklusif ini dapat mengubat rindu peminat kepada anak Pak Zain ini.

Persembahan itu nanti akan dijayakan oleh DC Borneo Sdn. Bhd. dengan tema glamor dan elegan. Wow! Hebat persembahan Anuarkan. Siap ada tema lagi.

Dinamakan Malam Bersama Anuar Zain... di Kota Kinabalu dan Kuching, ia akan dilangsungkan pada 26 Julai ini di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah dan di Sarawak Chamber Ballroom, Crowne Plaza Riverside pada 23 Ogos.

Bagaimanapun persembahan Anuar Zain sedikit berbeza di kedua-dua tempat biarpun senarai lagu yang dipersembahkan adalah sama.

Pada persembahan Di Sarawak, ia akan dilangsungkan dalam suasana makan malam dengan diiringi muzik secara minus one manakala di Sabah pula, ia adalah persembahan eksklusif dengan iringan enam pemuzik yang diketuai oleh Alvyn Santiago serta tiga penyanyi latar.

Apa yang pasti pada kedua-dua persembahan, Deja Moss akan dijemput menjadi penyanyi pembuka tirai dan ia merupakan kolaborasi sulung kedua-dua penyanyi ini.

Anuar memilih Deja kerana begitu kagum dengan vokalnya yang unik serta persembahan mantap penyanyi itu di pentas.Wanda percaya mesti ramai yang akan seronok dengan persembahan Deja dan Anuar nanti. Wanda pun kalau berpeluang nak menonton sama persembahan itu.

Kata Anuar, dia teruja sangat nak buat persembahan untuk peminatnya di kedua-dua negeri itu. “Harap semua yang berkesempatan dapat datang dan berseronok bersama saya,” kata Anuar.

Wanda dengar khabar, bukan sahaja peminat Anuar di Sabah dan Sarawak sahaja teruja dengan kehadiran Anuar di sana. Khabarnya peminat sejauh Singapura, Brunei dan Semenanjung sendiri dah ada yang buat tempahan untuk berhibur di sana.

Wah! Hebat sungguh penangan abang Nuar kita ni. Sampai ke Sabah dan Sarawak orang sanggup pergi. Itu baru namanya peminat setia. Wanda percaya, pasti penuh dewan-dewan itu dengan peminat setia Anuar nanti.

Kata Anuar lagi, dia pernah mengadakan persembahan di Unimas dan memang sambutan di sana amat menggalakkan. Itu sebab dia tak sabar nak menyanyi lagi di sana.

Anuar dijangka menyanyikan antara 12 hingga 15 buah lagu-lagunya sendiri pada persembahan itu, sama seperti yang repertoirenya semasa persembahan A Nite With... Anuar Zain yang baru lalu. Maaf, tiada lagu Inggeris atau lagu Indon ya!

“Saya hanya mahu memberikan hiburan terbaik buat peminat saya. Dan kalau mereka suka dan berpuas hati dengan persembahan saya, ia juga sebenarnya menjadi satu kepuasan dan kejayaan peribadi kepada saya,” ujar Anuar.

Khabarnya jejaka solo berusia 38 tahun itu juga ingin sangat menjelajah ke beberapa buah negeri bertemu peminatnya sebelum menjelangnya hujung tahun ini.

Malah dalam masa yang sama, walaupun sibuk dengan persiapan dan perancangan shownya ini, Anuar dan pihak pengurusannya tidak jemu-jemu dan berputus asa untuk mencari penaja konsert yang menjadi idaman.

Wanda tabik dengan cara mereka bekerja dan Wanda juga tabik kepada mereka yang tak pernah berputus asa untuk terus mencari ruang dan peluang untuk menjayakan sebuah persembahan demi para peminat.

Kepada sesiapa yang mahu menonton persembahan Anuar di Sabah dan Sarawak, tiket-tiket berharga RM100, RM200 dan RM300 boleh didapati dengan menghubungi 088-252066 , 088-242067 dan 088-243067 atau 03-79839006 .

 


Sumber: © Utusan Online - 22 Jun 2008
 
 
 
[ Back ]


SUDUT CHAT

SUMBER BERITA


FAV BLOG

FAV FORUM

 
 
ANUAR ZAIN WEBSITE © 2005 - 2008 • Design by Shahrul Aiman