PILIHAN UTAMA

OTHER AZ WEBSITE


WEBSITE ARTIS

RADIO ONLINE


MESTI KLIK

DOMAIN SPONSORED BY


 
ARKIB BERITA / BERITA TERKINI

Jangan dengar sebelah pihak - Anuar Zain

 

Tak sangka walaupun melalui seribu satu macam kisah sensasi, Anuar ternyata kuat. Apa yang membuatkan anda berjaya?

Kejayaan saya ini kerana saya berjaya menghasilkan sebuah album yang baik dan berkualiti. Kepada saya untuk seseorang itu berjaya dia perlulah mempunyai lagu yang baik dalam albumnya. Alhamdulillah, percaturan saya itu betul dan membuahkan hasil. Saya amat bersyukur.

Adakah Anuar merasakan selepas beberapa lama, baru hari ini merasai kejayaan tersebut?

Tidak! Saya bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan kepada saya sebelum ini tetapi kali ini lebih bagus. Sebagai contoh kalau dulu saya mempunyai peminat yang sama tetapi hari ini peminat yang berbeza. Orang yang meminati

saya sudah bertambah. Saya melihat ia sebuah kejayaan dan kejayaan itu terjadi kerana adanya album yang baik.

Maknanya karya lagu dari Indonesia itu lebih baik?

Saya tidak kata lagu dari sesebuah negara itu baik dan menafikan karya tempatan. Kepada saya, tak salah kalau kita nak beli lagu dari negara mana sekalipun tidak kira dari Indonesia, Filipina, Jepun atau dari Amerika sekali pun. Yang saya tekankan sekarang ialah karya itu. Saya suka kepada karya yang berbeza daripada apa yang kita dengar sekarang ini. Alhamdulillah, tindakan saya itu membuahkan satu kejayaan kepada saya.

Anuar sudah membuktikan segala cakap-cakap orang selama ini tidak berasas. Adakah mungkin mereka dengki dengan keputusan yang dibuat Anuar sebelum ini?

Saya tidak membuktikan apa-apa. Saya hanya ingin melihat peminat-peminat saya bahagia dan gembira dengan apa yang mereka peroleh menerusi karya saya. Sebab itulah saya bekerja kuat untuk mendapat sentuhan yang berbeza di dalam album saya. Insya-Allah, untuk album yang akan datang saya akan tetap mendapat khidmat komposer luar kerana saya mahu kelainan itu. Peminat saya juga hendakkan begitu.

Anda dikatakan semakin demand selepas berjaya. Apa sebenarnya berlaku?

Sebenarnya orang tersalah anggap maksud demand itu. Macam inilah saya bagi contoh, sesetengah orang itu mereka tandatangan kontrak tanpa membaca dulu isi kandungan kontrak itu. Selepas menandatanganinya baru mereka terkejut dan tak berpuas hati dengan kontrak berkenaan. Saya tak macam itu. Sebelum membuat sesuatu keputusan, saya baca dahulu baik dan buruknya. Kalau tak berpuas hati, saya akan berbincang. Lebih baik bergaduh sebelum segala-galanya menjadi bubur. Saya tidak didesak ketika membaca kontrak. Kalau salah satu pihak tak berpuas hati, terpaksalah kita tarik diri. Ia bukan demand sebaliknya mencari penyelesaian terbaik.

Khabarnya Anuar digam oleh stesen televisyen kerana mereka tak berpuas hati cara pengurusan Anuar. Apa masalah sebenarnya?

Masalahnya sekarang apabila seseorang itu mendengar cerita sebelah pihak. Satu pihak cakap ini, satu pihak lagi cakap lain. Apabila mesej itu sampai kepada pihak-pihak lain, mereka mendapat gambaran yang salah. Yang masalahnya kita terlalu suka mendengar penjelasan sebelah pihak. Saya sendiri pun tak tahu ada masalah dengan stesen televisyen itu sehinggalah diberitahu oleh orang lain. Saya cuma mahu menyanyi dan nak berkarya dan bukannya mahu menimbulkan masalah.

Dengar cerita Anuar berani menolak beberapa program?

Kalau sesuatu perkara itu tidak sesuai dengan kita, kita wajar menolaknya. Orang yang menawarkan pula harus berfikir apa yang menyebabkan seseorang itu menolak sesebuah tawaran itu. Kita hendaklah berfikiran positif. Seseorang itu menolak mungkin juga dia tidak berkemampuan untuk melakukannya. Sebagai contoh saya sudah berjanji untuk mengadakan persembahan di sesuatu tempat. Tidak lama kemudian ada tawaran dengan bayaran yang lebih tinggi datang. Saya terpaksa menolak tawaran yang tinggi itu kerana saya sudah mengikat janji. Mereka yang berkenaan haruslah faham cara bekerja yang lebih professional. Ketika berurusan, komunikasi dua pihak itu penting kalau kita mahu sesuatu kerja itu berjalan dengan baik.

Mendengar jawapan itu seolah-olah anda padat dengan jadual?

Jadual saya sebenarnya penuh 3 atau 4 bulan sebelum seseorang itu panggil untuk buat persembahan ataupun adakan apa-apa aktiviti. Apabila saya beri alasan seperti itu sesetengah mereka tidak percaya dan menuduh saya menipu. Saya percaya biarlah sesuatu itu saya buat dengan ikhlas kerana kalau tak ada keikhlasan tentulah apa yang saya buat itu tidak akan berjaya.

 


Sumber: © Utusan Online - 22 Jun 2008
 
 
 
[ Back ]


SUDUT CHAT

SUMBER BERITA


FAV BLOG

FAV FORUM

 
 
ANUAR ZAIN WEBSITE © 2005 - 2008 • Design by Shahrul Aiman